PUTRAJAYA, 22 Julai – Inovasi…… Pameran inovasi pada Karnival Ekspresi Felda Negaraku Malaysia di sini mengetengahkan inovasi yang dihasilkan daripada bahan yang terdapat di kawasan tanah rancangan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda).

Antara hasil inovasi dan kreativiti warga peneroka yang dipamerkan hari ini ialah sarung telefon pintar yang dihasilkan menggunakan tempurung kelapa hasil kreativiti warga peneroka Felda Chiku 7, Gua Musang, Kelantan.

Satu lagi kreativiti yang dipamerkan ialah produk kitar semula dari Felda Jengka, Pahang iaitu kertas daripada serat tandan kosong kelapa sawit dihasilkan melalui proses pempulpaan kimia.

Selain itu Jabatan Inovasi Felda turut mempamerkan perabot seperti kerusi dan meja kopi yang diperbuat daripada tayar lori dan kayu pallet bagi memberi idea kepada warga peneroka untuk menghasilkan pelbagai produk menggunakan barangan terpakai.

Pegawai Tadbir Jabatan Inovasi Felda, Haslina Hassan ketika ditemui pada pameran itu hari ini berkata kebanyakan produk yang dipamerkan pernah memenangi anugerah pada pertandingan inovasi anjuran Felda sebelum ini.

 

“Sementara set perabot seperti kerusi dan meja kopi pula yang dipamerkan bertujuan memberikan inspirasi kepada warga Felda untuk terus kreatif,” katanya.

Set meja dan kerusi yang dihasilkan dari tong dram turut menarik perhatian pengunjung.

Karnival Ekspresi Felda Negaraku Malaysia berlangsung di Dataran Putrajaya di sini selama tiga hari. – WD MY