KOTA KINABALU, 3 JUN – SERAH….. Jabatan Kerja Raya (JKR) diberi mandat untuk mengambil alih tugas memantau pelaksanaan Projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata kerajaan sudah memutuskan projek itu yang kini dipantau syarikat rakan penyampai projek (PDP), diserahkan kepada JKR seperti diminta kerajaan negeri sebelum ini.

Beliau berkata, penggunaan pihak luar seperti PDP untuk memantau pelaksanaan projek seperti itu menyebabkan kerajaan menanggung perbelanjaan tambahan sedangkan tugas berkenaan adalah kerja JKR.

“Sekarang terpulang kepada JKR menentukan siapa yang memantau projek itu, sama ada JKR Sabah atau JKR Persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, menghadiri Majlis Iftar Bersama Perdana Menteri di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu. Yang turut hadir, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Selepas berbuka puasa pada jam 6.28 petang, Dr Mahathir, Mohd Shafie dan jemaah menteri beragama Islam serta orang ramai menunaikan solat Maghrib berjemaah sebelum Perdana Menteri menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata pelbagai halangan berpunca daripada kerajaan terdahulu menyebabkan banyak projek perumahan rakyat (PPR) di Sabah dan seluruh negara berdepan masalah.

Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak mempunyai wang yang cukup untuk meneruskan projek itu dan terpaksa mendapatkan kerjasama syarikat swasta.

Mengenai hubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Parti Warisan Sabah (WARISAN), Dr Mahathir berkata hubungan kedua-dua pihak adalah baik dan mereka saling membantu menerusi Pakatan Harapan (PH).

“WARISAN bukan sebahagian daripada PH tetapi ia masih berkerja rapat dengan PH. Malah ada tiga menteri dalam Kabinet PH. Ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan baru-baru ini juga WARISAN memainkan peranan besar,” katanya. – WD MY