KUALA LUMPUR, SEPTEMBER 21:PARLIMEN…Penganalisis politik tidak menolak wujud strategi tersembunyi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di sebalik tindakan Ahli Parlimen UMNO keluar parti selepas 130 hari Pakatan Harapan (PH) memerintah.

Mereka berpendapat, perkembangan itu adalah petanda kukuh BERSATU sedang giat berusaha memancing Ahli Parlimen UMNO menyertai parti itu bagi mengukuhkan kedudukannya dalam kerajaan.

Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi dan Kemanusiaan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Mahadee Ismail, berkata BERSATU menyedari kedudukan mereka dalam PH tidak kuat berbanding PKR dan DAP.

“Oleh sebab itu, BERSATU perlu merancang untuk mengukuhkan parti itu dalam kerajaan. Antara caranya ialah dengan memancing Ahli Parlimen UMNO untuk keluar parti.

“Kita tahu sekarang, kesihatan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga terganggu, maka ini semua mungkin menjadi salah satu strategi mereka. ‘Game’ hari ini nampak Tun Dr Mahathir (Mohamad) mahu memperkasakan BERSATU,” katanya kepada NSTP, hari ini.

Beliau mengulas sama ada tindakan dua bekas Ahli Parlimen UMNO, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan keluar daripada UMNO ada kaitan dengan parti lain ketika ini.

Semalam, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendedahkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi dalang di sebalik pengunduran dua pemimpin veteran UMNO itu.

Jamal mendakwa Pengerusi BERSATU itu menghantar wakilnya untuk membeli Ahli Parlimen daripada UMNO supaya keluar parti bagi mengukuhkan kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri dan parti itu dalam Pakatan Harapan.

Ia berikutan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal bertanding di kerusi Parlimen Port Dickson selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi itu, baru-baru ini.

Tindakan itu juga didakwa bagi menghalang Ketua Umum PKR itu dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson pada 13 Oktober ini.

Jamal turut mendakwa usaha membeli wakil rakyat itu bertujuan menghalang pembentukan Kerajaan Persekutuan baharu melalui gabungan Ahli Parlimen UMNO, PAS dan PKR.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Muhammad Asri Mohd berkata, tindakan Ahli Parlimen UMNO keluar parti ada kaitan dengan percaturan kuasa di antara Dr Mahathir dan Anwar.

Katanya, UMNO dilihat sebagai sumber bagi membolehkan strategi mengukuhkan parti dilakukan khasnya bagi BERSATU.

“Kita boleh nilai dan jangka ini apabila Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Ahli Parlimen Semberong) pergi berjumpa Dr Mahathir kelmarin.

“Ada usaha dari parti tertentu barangkali untuk menarik wakil rakyat UMNO bagi memperkuatkan salah satu kem sama ada Dr Mahathir atau Anwar,” katanya.-MY WD