BERA, 15 Mac – Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail
Sabri Yaakob mahu anggota UMNO memandang serius terhadap mesyuarat cawangan yang
akan diadakan di bahagian masing-masing meskipun tiada pertandingan diadakan
pada Perhimpunan Agung UMNO akan datang.

Anggota Parlimen Bera merangkap Ketua UMNO Bahagian Bera itu berkata mereka
perlu menggunakan ia sebagai platform untuk menyuarakan sebarang pandangan dan
usul yang boleh menentukan hala tuju parti serta agenda mengukuhkan parti.

“Bila sebut UMNO ia sebuah parti demokratik dan anggota mempunyai peluang
menyuarakan pandangan. Kalau mereka tidak datang (mesyuarat) bagaimana pandangan
mereka nak disuarakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan
tahunan UMNO cawangan dalam Bahagian Bera di sini hari ini.

Ismail Sabri, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata
mesyuarat bagi 54 cawangan UMNO dalam bahagian Bera akan diadakan selama tiga
hari iaitu 3 hingga 5 April depan. – Sofea Nawar (WD MY)

LEAVE A REPLY