KUALA LUMPUR, 4 Dis – Dibuka Semula……. Panggung Anniversary Taman Botani Perdana
di sini yang suatu ketika dahulu cukup popular dalam kalangan warga kota untuk
melihat persembahan hiburan secara percuma, dibuka semula kepada umum bermula
hari ini.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata
pembukaan semula panggung berkenaan diharap dapat menghidupkan semula nostalgia
panggung berkenaan yang menjadi satu-satunya pentas persembahan hiburan percuma
di ibu negara sekitar era 1970-an dan 1980-an.

“Panggung ini telah menjadi destinasi wajib kepada warga kota pada hujung
minggu selain melahirkan ramai bintang hiburan,” katanya dalam ucapan perasmian
pembukaan semula panggung berkenaan malam tadi.

Tengku Adnan berkata usaha menaik taraf Panggung Anniversary itu juga
merupakan salah satu tanggungjawab Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi
mewujudkan ruang dan peluang kepada penggiat seni mempersembahkan hasil karya
kepada masyarakat tempatan dan pelancong asing.
“Panggung ini juga mempunyai potensi yang besar untuk terus berkembang,
meriah dengan pelbagai acara sebagai satu tarikan pelancong, penganjur acara
serta para pelajar seni bina di Taman Botani Perdana,” katanya.
Tambahnya panggung tersebut juga akan menjadi ‘Rumah Orkestra DBKL’ dengan
mengadakan persembahan bulanan bersama artis-artis popular tanah air secara
percuma kepada warga kota. – WD MY