KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Pangkat Kehormat…. Sebagai penerima pangkat kehormat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) disifatkan peneraju perubahan merangkumi pelbagai aspek, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, individu terpilih yang menerima pangkat berkenaan harus bergiat aktif dalam memainkan sembilan peranan digariskan RELA.

“Sebagai penentu hala tuju negara, Yang Berhormat (YB) semua boleh menggunakan kepakaran dan pengaruh dalam mempromosikan RELA di peringkat Parlimen masing-masing.

“Ahli Parlimen juga dapat tampil menangkis sebarang persepsi negatif awam terhadap RELA sekiranya dipaparkan di media massa supaya tidak mencetuskan kekeliruan terhadap masyarakat.

“Mereka juga adalah pemangkin antara RELA dan kerajaan dalam aspek pembangunan dan kebajikan komuniti setempat,” katanya pada ucaptama majlis pemakaian pangkat kehormat, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Masir Kujat.

Seramai 99 penerima, merangkumi 43 ahli Dewan Rakyat dan 56 ahli Dewan Negara dianugerahkan pangkat kehormat berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, penerima pangkat kehormat dalam kalangan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara sewajarnya menggalas peranan sebagai ikon.

“Semaikan nilai murni dan cerminan terbaik kepada masyarakat sepanjang memakai pangkat kehormat ini kerana kepemimpinan menerusi tauladan adalah antara pemangkin arus perubahan,” katanya. – WD MY