SHAH ALAM NOVEMBER 21: PAPAN TANDA….Keputusan mengenai penggunaan bahasa di papan tanda jalan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, kata Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

Katanya beliau tidak terlibat dalam sebarang perbicangan mengenai keputusan tersebut.

“Itu keputusan kerajaan negeri Selangor, saya di peringkat Kementerian Wilayah tidak tahu apa perbincangan mereka,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Maulidur Rasul peringkat kebangsaan 1440H/2018 di Putrajaya SEMALAM.

Beliau mengulas titah Sultan Selangor supaya semua papan tanda yang menggunakan dua bahasa di Shah Alam diturunkan dan digantikan dengan bahasa Melayu secepat mungkin.

Isu papan tanda itu timbul ekoran kenyataan Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena) Dr Saleeh Rahamad yang menyatakan papan tanda nama jalan dalam bahasa Melayu dan jawi oleh pihak berkuasa tempatan perlu dikekalkan.

Terdahulu, seorang penduduk Shah Alam di akaun Twitternya mempersoalkan keperluan papan tanda jalan di kawasannya dalam tulisan Cina.

Menurut Khalid yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, beliau menyokong agar papan tanda jalan dikekalkan dalam bahasa kebangsaan supaya lebih mudah dibaca oleh semua rakyat.

“Kalau sultan sudah keluarkan titah, kita kena akur kerana saya fikir ada perbincangan di peringkat negeri, DUN dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sewajarnya kalau boleh biar nama jalan kita kekalkan di bawah tulisan Bahasa Melayu dan memudahkan rakyat untuk baca.

“Di Wilayah (Persekutuan) tidak timbul apa-apa isu. Semua masih ok. Tidak perlu dibincangkan,” katanya lagi.-MY WD