KUALA LUMPUR, 14 Nov – Satu gempa bumi sederhana dengan kekuatan 5.3 skala Ritcher berpusat di 5.2 selatan, 149.1 timur Rantau New Britain, Papua New Guinea berlaku jam 4.52 pagi ini.

Jabatan Meteorologi dalam kenyataan awal pagi ini menyebut lokasi gempa bumi itu terletak di 139 kilometer (km) barat daya Kimbe, Papua New Guinea dan 1,596 km tenggara Semporna, Sabah.

Bagaimanapun tiada ancaman tsunami dikeluarkan.

Sementara itu, amaran ribut petir dikeluarkan di perairan Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak yang dijangka berterusan sehingga pagi ini.

Keadaan itu boleh menyebabkan angin kencang sehingga 50 kilometer sejam (kmsj) dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter, sekali gus berbahaya kepada bot kecil.

Amaran sama turut dikeluarkan untuk aktiviti perkapalan di perairan Phuket, Selat Melaka, Tioman, Bunguran, Kuching dan Reef South yang dijangka berterusan hingga pagi ini. – WD MY