KUALA LUMPUR, 11 Julai – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(MCMC) akan segera lakukan siasatan dan mengambil tindakan untuk kesalahan
pemilikan dan penggunaan parabola haram yang dilaporkan berleluasa di Cameron
Highlands.

MCMC telah dimaklumkan mengenai kewujudan dan penggunaan parabola secara
berleluasa di kawasan Cameron Highlands oleh petugas khas ‘Ops Gading’ yang
diketuai oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Sehubungan itu, MCMC akan
bekerjasama dengan MKN, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa penguatkuasa
yang lain bagi proses penyiasatan. Penggunaan parabola yang berleluasa itu
terdapat di kawasan penempatan haram yang disyaki diduduki pendatang asing tanpa
izin (PATI).

“Penguatkuasaan sukar dilaksanakan sepenuhnya kerana kekangan seperti penempatan
yang dikenal pasti dipasang di kawasan berbukit, cerun dan lereng-lereng yang
menyukarkan pasukan operasi untuk memasuki kawasan tersebut dengan kenderaan
biasa. Selain itu, proses untuk mengenal pasti pemilik atau pengguna parabola
tersebut juga sukar,” kata Ketua Bahagian Pemantauan dan Penguatkuasaan MCMC,
Zulkarnain Mohd Yasin.

Pemilikan dan penggunaan parabola merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 239
Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (AKM) 1998 dan di bawah Akta Kastam
1967. Jika sabit kesalahan di bawah AKM 1998, hukuman denda tidak melebihi
RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Manakala di
bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(Standard Teknik) 2000, hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara
tidak melebihi tempoh enam bulan jika sabit kesalahan.

Penggunaan parabola memberi impak kepada industri penyiaran negara kerana
kandungan siaran yang diterima secara terus melalui parabola tidak ditapis. Hal
ini menyebabkan pendedahan kepada bahan-bahan lucah dan ideologi songsang mudah
berlaku. Kewujudan parabola yang banyak juga mencemarkan pemandangan di negara
ini.

“MCMC sebagai badan kawal selia industri komunikasi dan multimedia Malaysia
mengambil berat setiap perlakuan kesalahan yang melanggar peruntukan AKM 1998
atau undang-undang subsidiarinya. MCMC akan bekerjasama bersama dengan agensi
penguatkuasaan lain untuk menyiasat dan mengenal pasti pemilik parabola selain
daripada terus melakukan aktiviti pemantauan berkala di kawasan Cameron
Highlands,” tambah Zulkarnain Mohd Yasin. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY