AYER KEROH, 4 April – Takungan air di Empangan Durian Tunggal, di sini, berada pada tahap amaran dengan mencatatkan 58 peratus air sejak semalam.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron, berkata keadaan itu menimbulkan sedikit kebimbangan kepada kerajaan negeri, namun yakin ia masih mampu menampung kegunaan penduduk di negeri ini.

Beliau berkata, bagi dua empangan lain iaitu Empangan Jus dan Empangan Asahan di Jasin masing-masing mencatatkan kapasiti air memuaskan iaitu sebanyak 77 dan 89 peratus.

“Berikutan situasi amaran itu, saya menasihatkan orang ramai mengambil langkah berjimat dalam penggunaan air sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

“Bagaimanapun, kita tetap berusaha yang terbaik, termasuk melakukan pembenihan awam di kawasan sasaran jika tiada hujan dalam tempoh sebulan ini,” katanya selepas menghadiri majlis perhimpunan bulanan kerajaan negeri di Dewan Seri Negeri, di sini, sebentar tadi. – Sharini Abdulah ( WD MY)

LEAVE A REPLY