KUALA LUMPUR, 6 Mac – Wajah Baru…… Pada Mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-13 yang bermula hari ini kembali bersidang di bangunan utama Parlimen, dengan konsep dan hiasannya yang lebih canggih, moden dan ekslusif.

Ia selepas bangunan bersejarah ini selesai menjalani kerja-kerja pengubahsuaian dan penambahbaikan yang bermula sejak 2012.

Pusat media yang sebelum ini ditempatkan di bangunan sementara di Blok C, kini kembali berpindah ke blok utama.

Sementara itu, ruangan sidang media yang terletak di bahagian luar dewan persidangan dibahagikan kepada dua, dengan bahagian di sebelah kiri dewan dikhaskan untuk sidang media anggota Kabinet, manakala sebelah kanan, Ahli Parlimen lain.

Pelbagai kemudahan dan kelengkapan bangunan Parlimen juga sudah siap ditambah baik seperti dewan serba guna, bumbung Blok Utama dan tempat letak kereta bawah tanah.

Bangunan sementara yang sebelum ini digunakan untuk persidangan akan diguna semula khusus bagi persidangan Parlimen Belia dan Parlimen Mahasiswa.

Selesai perasmian mesyuarat yang akan disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, persidangan akan bermula dengan perbahasan usul menjunjung kasih selama tujuh hari, dijadual bermula esok. – WD MY