KUALA LUMPUR, 12 Mac – ENGGAN….. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim berkata laporan audit forensik bagi projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dan 240 dokumen yang terbabit dalam kajian audit berkenaan tidak boleh didedahkan kerana siasatan masih dilakukan.

Kesemua dokumen itu termasuk syor yang dijangka diberi, telah diminta oleh polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) untuk digunakan sebagai dokumen siasatan.

“Laporan audit tak boleh didedahkan kerana siasatan masih berlangsung dan kita akan pastikan perkara (yang timbul) berkaitan ini (projek KLVC) tidak akan berulang dengan memastikan semua jabatan kerajaan dan agensi berkaitan mematuhi perintah am.

“Apa yang berlaku di FELDA adalah satu pengajaran yang amat besar. Saya setuju kita tak boleh biarkan perkara ini berulang dan saya boleh beri jaminan tidak ada jabatan yang boleh terlepas daripada kajian (pemantauan) audit sebenarnya,” katanya menjawab soalan tambahan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (PPBM-Pagoh) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

KLVC ialah projek yang dibangunkan syarikat pemaju, Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB), di tanah milik FELDA yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini. – WD MY