KUALA LUMPUR, 2 April – BAHASA…… Perbahasan usul Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar 2018, kecoh ketika penyokong kerajaan membangkitkan keperluan menggubal akta bagi menangani penularan berita palsu.

Pertikaman lidah berlaku ketika Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) memetik isi ceramah Rafizi Ramli (PKR-Pandan) di Baling pada minggu lalu yang menyatakan beliau (Abdul Azeez) menghina apabila bertutur dalam bahasa Tamil sehingga memalukan ahli parlimen Barisan Nasional (BN) di dalam Dewan Rakyat.

“Bukankah bahasa Tamil ini satu modal insan yang ditambah nilai? Apa salahnya kalau kita boleh berbahasa Tamil? Tak salah.

“Pandan tak faham. Saya cakap dengan Kapar macam dua beradik bercakap, bukannya maki hamun. Tak tahu jangan cakap,” katanya.

G Manivannan (PKR-Kapar) turut mencelah dan bertutur dalam bahasa Tamil sebelum disuruh duduk oleh Abdul Azeez.

Shamsul Iskandar Md Akin (PKR-Bukit Katil) kemudiannya membacakan peraturan mesyuarat yang menyatakan bahasa rasmi majlis adalah Bahasa Melayu.

Manivannan yang masih belum berpuas hati kemudiannya mengejek Abdul Azeez bertutur dalam bahasa Tamil di rumah.

“Kenapa sekarang nak perlekehkan? Insaf sikit, dalam rumah pun cakap Tamil,” katanya.

Abdul Azeez membalas, tidak ada masalah untuk bertutur dalam bahasa Tamil tetapi bukan di dalam Dewan Rakyat, mengikut peraturan yang sudah ditetapkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua pihak seharusnya menyokong RUU yang bakal digubal supaya dapat membela diri daripada difitnah.

“Sebagai contoh, Lim Guan Eng (DAP-Bagan) memfitnah saya ambil tiga juta dalam lima sesi ceramahnya. Saya saman dan biarkan mahkamah tentukannya.

“Beliau juga kata anaknya difitnah dan saya simpati kerana saya juga ada anak. Sebab itu, kita kena sokong RUU ini supaya berita palsu dapat dikekang,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, kemudiannya membentangkan isu dan cadangan yang dibangkitkan sebelum diganggu oleh R Sivarasa (PKR-Subang). – WD MY