KUALA LUMPUR, 11 Okt – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hadir ke Wisma MCA Jalan Ampang bagi merasmikan Mesyuarat Agung MCA hari ini.

Dalam ucapan beliau mahu semua komponen BN menghentikan pertelingkahan dalaman masing-masing dan menggunakan tempoh masa yang ada bagi memperkukuhkan parti.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata, pertukaran jawatan tertinggi dalam parti akibat masalah dalam tempoh masa yang agak kerap sebagaimana berlaku ke atas MCA sebelum ini, hanya menghakis keyakinan masyarakat Cina kepada BN.

“Hanya dengan bersatu sahaja kita (BN) akan menjadi lebih kuat dan diyakini rakyat. Kita juga memahami masalah rakyat dan responsif kepada kehendak mereka,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata parti komponen kedua terbesar BN itu sentiasa menyuarakan pandangan mereka atas pelbagai isu nasional terutama yang berkaitan dengan masyarakat Cina melalui saluran yang betul dan di dalam sistem BN yang ada seperti dalam mesyuarat Kabinet dan mesyuarat Majlis BN.

“Suara masyarakat Cina disampaikan melalui MCA. MCA bagi pendapat secara berhemah dan bukan dengan cara biadap, namun tegas.

“Apa jua isu, sama ada demonstrasi baju kuning atau baju merah, insiden (Plaza) Low Yat, dan 1MDB, MCA sentiasa memberi pandangan mereka. Dan saya menghormati pandangan mereka. Tak betul kalau DAP cakap MCA sebagai rakan tidak aktif,” katanya.

Beliau juga berkata bekerja dalam lingkungan sistem bagi menangani sesuatu isu adalah lebih berkesan dan dihormati daripada menjerit dan bercakap mengenainya di luar.

Dalam perkembangan lain, Najib yang juga pengerusi BN menggesa masyarakat Cina supaya terus yakin dan menyokong BN dari segi tindakan dan perbuatan. – Sharini Abdulah, Faizal Dato Badarudin (WD MY)

LEAVE A REPLY