KUALA LUMPUR, 30 Mac – Sambut Baik…….  Parti komponen Barisan Nasional (BN) menyambut baik keputusan Dewan Tertinggi BN untuk tidak membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Parlimen.

Bagi Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata pandangan diluahkan semua parti komponen terhadap impak RUU 355 didengari Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

Katanya, perjumpaan hampir sejam antara wakil komponen juga berjalan dengan lancar tanpa masalah.

Turut mengalu-alukan keputusan itu adalah Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang berkata keputusan yang diumumkan Najib dibuat berdasarkan konsensus.

Jadi katanya, sekarang keputusan ini membuatkan RUU ini akan terus menjadi rang undang-undang persendirian.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata konsensus BN adalah kaedah yang terbaik dan bukan mudah untuk dicapai.

Katanya, keunikan yang ada pada BN ialah semua parti komponen bekerja sebagai satu pasukan dan apa jua pendekatan yang kita nak bawa menjelang pilihan raya ini mesti nampak kita dalam pasukan yang mantap.

“Seperti biasa kita dalam keluarga BN tidak ada perkara yang begitu sensitif yang tidak dibincangkan. Tetapi sama ada ianya akan diumumkan di khalayak ramai, kita perlukan konsensus.

“Jadi ini kelebihan kita di BN. Bukan mudah untuk mentadbir dan mendekati rakyat yang berbilang kaum dan agama.

“Konsensus BN merupakan kaedah yang terbaik tetapi nak mencapai konsensus itu bukan sesuatu yang mudah. Kena tunggu masanya nanti,” katanya. – WD MY