ALOR SETAR, 5 Ogos – Ingatkan…… Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ingatkan Semua parti komponen Barisan Nasional (BN) khususnya yang kehilangan kerusi dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) perlu membuktikan mereka masih layak untuk terus bertanding kerusi yang diperuntukkan.

Ahmad Zahid berkata untuk itu parti komponen perlu memastikan peluang untuk menang di kerusi terbabit berada dalam tangan, melalui kerja keras hasil kerjasama semua jentera BN.

Mengambil contoh di Alor Setar, beliau berkata MCA perlu membuktikan dua kerusi yang menjadi kuota mereka iaitu Parlimen Alor Setar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darulaman dapat dikembalikan kepada BN, selepas ia dipertanggungjawabkan kepada mereka.

“Di Alor Setar kerusi Parlimen dan DUN Kota Darulaman kita bagi MCA (kedua-duanya tewas kepada DAP)….jadi ingatlah kita sudah beri kerusi kepada anda (MCA) walaupun kita tahu lebih 80 peratus pengundi adalah Melayu, atas dasar hormat sesama rakan dalam BN.

“Jadi pastikan kamu kerja keras dan tolong kesan balik ahli DNA serta pengundi Cina untuk menyokong calon anda…jangan lupakan pengundi India, begitu juga Melayu dan lain-lain kaum kerana saya akan memerhati,” katanya ketika berucap sempena perasmian Mesyuarat UMNO Bahagian Alor Setar, di sini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Perhubungan UMNO negeri yang juga Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Zahid berkata, apa yang berlaku di Alor Setar adalah contoh perkongsian kuasa yang menjadi amalan dalam BN, di mana parti komponen membantu antara satu sama lain untuk memastikan sasaran tercapai.

“Kalau (parti komponen lain) berhasrat untuk menang, mereka kena kerja lebih keras sejak daripada PRU lalu dan UMNO sedia membantu dari segi jentera kerana itu prinsip kita berkongsi kuasa.

“Untuk dibantu, mereka (parti komponen) perlu bantu diri sendiri dengan pastikan masyarakat Cina diberi kepedulian dan ambil tahu soal kebajikan mereka…tak semua orang Cina kaya kerana ada juga yang perlukan bantuan MCA…tetapi ingat mereka bukan sahaja jaga masyarakat Cina, tetapi juga Melayu dan lain-lain kaum,” katanya.

Mengenai konsep kesatuan dalam BN, Ahmad Zahid berkata 13 parti komponen memerlukan antara satu sama lain kerana setiap parti mempunyai masalah dalaman tersendiri.

“Ketika UMNO lemah, kawan BN bantu sebab mereka akar tunjang dan akar serabut yang mengukuhkan dan menghidupkan pokok besar yang bernama BN.

“Ketika ini UMNO kukuh dan atas sebab itu wajib untuk bantu mereka (parti komponen lain) supaya mereka juga boleh kukuh di dalam pohon rimbun BN,” katanya. – WD MY