KUCHING, 3 Feb – Hormati….. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi berharap parti-parti politik yang telah mengumumkan komitmen untuk
tidak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjong Datu akan menghormati
keputusan mereka itu.
Katanya dengan berbuat demikian, mereka memberi peluang kepada balu
Allahyarham Tan Sri Adenan Satem, Puan Sri Jamilah Anu, calon Barisan Nasional
untuk PRK itu, meneruskan kerja-kerja cemerlang yang dilakukan oleh bekas Ketua
Menteri berkenaan sebelum ini.
Ahmad Zahid berkata demikian semasa berucap pada sambutan Tahun Baharu Cina
anjuran kerajaan negeri dan Komuniti Cina Kuching Selatan, di sini hari ini.
“Umum mengetahui sebanyak 14 kertas pencalonan telah diambil. Anda boleh
ambil kertas (pencalonan) itu tapi jangan kemukakannya di pusat penamaan calon
esok.
“Namun pada masa sama kami tidak menghalang mana-mana pihak termasuk (calon) bebas jika mereka ingin bertanding kerana kita negara demokratik,” katanya.

Ahmad Zahid berkata jika Jamilah dibenarkan menang tanpa bertanding, ini
bermakna kawasan Lundu dan penduduknya akan menikmati lebih banyak pembangunan
dan kemakmuran.

Mengulas isu lain, beliau memuji peralihan kuasa yang berjalan lancar di
negeri ini susulan kematian Adena pada 11 Jan lalu, dengan Timbalan Ketua
Menteri yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, Datuk Amar
Abang Johari Tun Openg mengambil alih jawatan ketua menteri.
“Ini menunjukkan kualiti kepimpinan yang hebat di negeri ini, iaitu suatu yang sangat berbeza dan unik.
“Rakyat Sarawak sangat bertuah. Sekalipun berbeza agama, pandangan dan Pendekatan dalam berfikir, mereka bersatu sebagai ‘1 Sarawak’,” katanya.
Malah kata Ahmad Zahid, indeks perpaduan rakyat Sarawak adalah yang tertinggi di negara ini. – WD MY