MIRI, 18 Jan – Bincang….. Pihak Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan bermesyuarat Sabtu ini untuk membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu.

MENTERI Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah.

Timbalan Ketua Wanita PBB yang juga Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah, berkata mesyuarat juga akan membincangkan mengenai kekosongan jawatan presiden PBB.

PRK Tanjung Datu bakal diadakan selepas Ketua Menteri kelima Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Datu, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lalu.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan mesyuarat berkaitan PRK DUN Tanjung Datu akan diadakan esok di ibu Pejabat SPR, Menara SPR, Putrajaya bermula 9.30 pagi.

Mesyuarat akan membincangkan tarikh hari penamaan calon, pengundian awal, pengundian dan senarai daftar pemilih yang akan digunakan bagi PRK DUN Tanjung Datu.

Mengenai calon Barisan Nasional (BN) bagi PRK Tanjung Datu, Fatimah berkata, pengumuman akan dibuat oleh Ketua Menteri yang juga Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Abang Openg atau Setiausaha Agung PBB, Datuk Dr Stephen Rundi Utom.

“Seperti biasa, perkara mengenai calon akan dilakukan secara perbincangan dan persetujuan bersama,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 150 penerima pada majlis ‘Sejambak Kasih Tahun Baharu Cina’ di sini, hari ini.

Setakat ini, parti pembangkang PKR dilaporkan belum membuat keputusan sama ada bertanding atau tidak manakala PAS Sarawak tidak akan bertanding sebagai menghormati Allahyarham Adenan. – WD MY