CHUKAI. JAN 16: UNDI CALON BN…. PAS akan mengerah pengundinya untuk memberi sokongan kepada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata partinya akan menyokong BN kerana calonnya tidak mewakili UMNO, PAS atau mana-mana parti pembangkang.

“Calon itu hanya menggunakan logo BN dan kita akan sokong,“ katanya ketika hadir pada Majlis Perasmian Dewan Dato Seri Tuan Guru di Darul Iman Traning Central (DITC) Teluk Kalong, di sini, semalam.

Majlis dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan turut dihadiri Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.

Abdul Hadi berkata, beliau tidak meletakkan sasaran bahawa undi daripada PAS akan menjadi penentu kepada kemenangan calon BN.

“Kita akan ketahui sama ada undi PAS menjadi penentu selepas kita lakukan post mortem selepas PRK itu nanti.

“Berdasarkan Pilihan Raya Umun Ke-14 (PRU-14) memang jumlah undi PAS perlu diambil kira dalam menentukan kemenangan calon, “katanya.

Menurutnya, beliau akan turun berkempen di Cameron Highlands pada 20 Januari.

“Insya-Allah, kita akan turun berkempen bagi memastikan penyokong PAS keluar pada hari mengundi sebagai tanda sokongan dan kerjasama, “katanya.