KUALA LUMPUR, DISEMBER 3: PAS…Semua pimpinan dan ahli PAS “diarah dan dikerah” untuk menyertai himpunan membantah Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) yang akan diadakan 8 Dis ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan melalui surat bertarikh 1 Dis.

“Semua pimpinan dan ahli-ahli PAS negeri, wilayah, kawasan, cawangan dan dewan semua peringkat diarah dan dikerah untuk turun beramai-ramai bagi menghadiri himpunan tersebut di samping menyeru, mengajak dan membawa semaksimum mungkin penyokong PAS ke program ini sebagai menzahirkan semangat dan kebersamaan kita dalam isu-isu ini,” kata surat itu.

Surat itu juga menyatakan tiga tempat berkumpul iaitu Masjid Negara, Masjid jamek dan pusat beli-belah Sogi di Kuala Lumpur.

Menurut surat itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga dijangka hadir.

Himpunan pada 8 Dis dianjurkan Gerakan Pembela Ummah yang mendapat sokongan Umno dan PAS.

Surat itu menyatakan bahawa objektif himpunan berkenaan adalah sebagai “mensyukuri pendirian kerajaan Malaysia menangguh meratifikasi Icerd”.

Selain itu, ia juga diadakan bagi menggesa kerajaan tidak meratifikasi Icerd dan sebarang konvensyen yang “bercanggah” dengan semangat perlembagaan.

Surat itu juga menyatakan bahawa himpunan itu diadakan bagi menyatakan bantahan bersetursan terhadap sebarang “ancaman” terhadap agama Islam, institusi raja, bangsa Melayu, bumiputera Sabah dan Sarawak serta bahasa Melayu.-MY WD