PETALING JAYA,OGOS 28:KOMITED…PAS komited meneruskan perjuangannya dalam menaikkan taraf hidup dan sosio-ekonomi rakyat di kawasan Seri Setia tanpa meminggirkan kepentingan kaum Cina dan India.

Calon PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Dr Halimah Ali berkata, Pas sejak dulu lagi memberi perhatian yang sama rata kepada semua golongan termasuk kaum Cina dan India.

“Saya berjaya membuktikan bahawa Pas tidak ‘pilih kasih’ semasa tempoh saya menjadi ADUN Selat Klang di mana nasib kaum Cina di beri perhatian khusus dan diberi layanan seadilnya.

“Saya juga berjaya menyesuaikan diri di kalangan Pulau Ketam yang terdiri daripada 99 peratus penduduk Cina kerana mereka sedar PAS menghormati pegangan agama dan bangsa masing-masing,” katanya pada sidang media di Hotel Tabung Haji yang turut dihadiri Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, di sini, hari ini.

Menurut Halimah lagi, tidak dinafikan cabaran utamanya ketika ini adalah membuka mata dan minda pengundi Cina di Seri Setia supaya menerima PAS sebagai pilihan berikutan pelbagai propaganda pihak tidak bertanggungjawab yang melabelkan parti tersebut bersifat ekstrem.

Bagaimanapun, katanya, reaksi agak memberangsangkan di kalangan pengundi Cina selepas beliau mengadakan temubual dalam talian dengan pelbagai media.

“Ramai mendakwa kami ekstrem dan ‘potong-potong’, jadi orang Cina agak tidak terbuka tetapi mereka sudah didedahkan dengan perjuangan saya iaitu siapa yang paling mampu membawa suara rakyat kalau bukan pembangkang.

“Jadi, jangan takut dan bimbang untuk memilih PAS kerana kami sentiasa meletakkan hak sama rata tanpa mengganggu atau menggugat agama, bahasa atau bangsa sesuatu kaum,” katanya.

PRK Dun Seri Setia pada 8 September ini bakal menyaksikan pertembungan antara Dr Halimah dan calon PH, Halimey Abu Bakar.

Kerusi DUN Seri Setia kosong selepas ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Prof Dr Shaharuddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu akibat kanser.-MY WD