KOTA BHARU, 17 Mei – Tidak Jangka……. Parti PAS tidak menjangkakan Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuat keputusan mengarahkan semua lantikan politik dari parti itu dalam kerajaan negeri Kelantan melepaskan jawatan mereka serta-merta.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata keputusan itu adalah tindakan drastik pucuk kepemimpinan PKR, memandangkan pihaknya menjangkakan ketika ini adalah tempoh bertenang susulan isu hubungan kedua-dua parti terbabit.

“Bagaimanapun, kita tidak menghalang jika mereka mahu meletak jawatan, namun keputusan kekal (jawatan dalam kerajaan negeri) adalah lebih baik.

“Kami mengalukan mana-mana ahli PKR yang mahu kekal dengan lantikan itu supaya dapat bersama-sama memberi khidmat kepada rakyat…itu lagi penting.

“Apa pun, ia terserah kepada mereka dan kita mengalu-alukan apa saja keputusan yang dibuat,” katanya.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar, berkata setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang surat daripada ahli PKR di negeri ini berhubung keputusan terbabit.

“Bagi kerajaan, apa saja keputusan tidak menjejaskan pentadbiran negeri, cuma mereka akan rugi kerana tidak boleh berkhidmat kepada rakyat.

“Kami harap supaya mereka kekal sekurang-kurangnya hingga hujung tahun atau sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) nanti,” katanya. – WD MY