ALOR SETAR, 18 Dis – Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah akan membantu memudahkan urusan persekolahan anak kepada pasangan guru yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Jalan Alor Punti, dekat Pendang, di sini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, kepada pemberita ketika singgah di Bilik Mayat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, sebentar tadi selepas menerima maklumat mengenai kejadian menimpa warga pendidik itu.
“Takziah saya ucapkan kepada keluarga arwah yang kedua-duanya adalah guru di sekolah dalam daerah Pendang.

“Saya dimaklumkan mereka ada lima anak yang kini semuanya berada di wad di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Kita akan tengok bantuan bersesuaian untuk bantu mereka meneruskan persekolahan sebab kedua-dua ibu bapa sudah tiada dan saya difahamkan, seorang daripada anak arwah menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM),” katanya yang mengesahkan tanggungjawab itu akan diambil JPN kedah.
Mahdzir yang ditemani Pengarah Pendidikan negeri, Datin Azuyah Hassan, singgah untuk menziarahi keluarga mangsa sejurus selesai menghadiri Majlis Konvokesyen Program Puncak di TH Hotel & Convention Centre di Kepala Batas, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam tadi, Mohd Padzil Rashid, 50, guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang dan isteri, Masmiwaza Mohd Noor, 42, yang juga guru di SMK Tobiar maut selepas PERODUA Alza dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan treler.
Dalam kejadian itu, lima anak mereka berusia antara enam hingga 14 tahun cedera dengan dua daripada mereka pasangan kembar berusia 11 tahun dilaporkan masih dirawat di ICU di HSB. – WD MY