Pasangan Kekasih Edar Dadah Dijatuhkan Hukuman Gantung Sampai Mati

0
72

ALOR SETAR, 29 Okt – GANTUNG……Lelaki dan wanita yang juga pasangan kekasih dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Hashim Hamzah turut menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Muhamad Samri Hashim, 40, yang kudung kaki kanan dan Salina Dtiauddin, 32, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Selain itu, bapa seorang anak terbabit turut dikenakan 10 sebatan.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhamad Samri dan Salina didakwa mengedar dadah berbahaya heroin seberat 23.32 gram dan monoacethylmorphines 3.55 gram di dalam kereta jenis Proton Perdana di Jalan Bukit Awi, Kulim, dekat sini, pada jam 1 pagi, 12 Mac 2016.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Bagi pertuduhan kedua, Muhamad Samri dan Salina didakwa memiliki dadah jenis methamphethamine seberat 39.41 gram di tempat dan masa sama.Mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2)/39A(2) ADB 1952 yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan minimum 10 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shuhada Mohd Yatim manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, M Chandran dan Burhanudeen Abdul Wahid.

Selepas dijatuhkan hukuman, Salina yang juga ibu tunggal tiga anak dilihat menangis di kandang tertuduh manakala ahli keluarganya yang turut kelihatan di kerusi awam turut menitiskan air mata. – WD MY