GOMBAK, 7 Nov – RUMAWIP….. Perubahan pasar Besar Gombak bakal berwajah baru dengan menampilkan konsep yang lebih moden serta turut menyediakan komponen perumahan mampu milik kepada warga kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pembangunan semula ini akan melibatkan bangunan komersil setinggi sembilan tingkat yang akan menempatkan kedai dan beberapa kemudahan lain.

“Pembangunan semula ini akan menempatkan kedai dan lot-lot perniagaan, pasar basah, mini Pusat Transformasi Bandar (UTC), pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pejabat kesihatan baharu, surau serta dewan serbaguna.

“Pada masa yang sama, projek blok kediaman Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) berketinggian 44 tingkat akan turut dibina bersebelahan pasar ini,” katanya ketika berucap di Majlis Pembangunan Semula Pasar Besar Gombak pada Selasa.

Projek Rumawip yang akan dikenali sebagai Residensi Inspiria itu akan menawarkan 900 unit dengan harga jualan RM298 ribu seunit dengan keluasan 815 kaki persegi dan didatangkan dengan tiga bilik tidir, dua bilik air dan satu unit tempat letak kereta.

Projek pembangunan semula ini dijangka siap dalam masa 42 bulan dan syarikat pemaju AlmaVentures Development Sdn Bhd telah diberi tanggungjawab untuk menjalankan projek tersebut.

Tengku Adnan dalam ucapannya turut mengumunkan inisiatif yang akan diberikan oleh pemaju kepada masalah-masalah berbangkit ekoran pembangunan semula pasar besar ini.

“Pihat pemaju akan menanggung 50 peratus kos penempatan klinik kesihatan ibu dan anak di tapak yang baharu. Pemaju akan menanggung kos penempatan semula sementara Pejabat Cawangan dan Pejabat Kesihatan DBKL serta membina stor pejabat cawangan.

” Saguhati juga akan diberikan kepada para peniaga yang terlibat sebagaimana yang dituntut oleh Jawatankuasa Bertindak Pasar Besar Gombak,” katanya.

Tambahnya, projek pembangunan semula ini akan mula dilaksanakan selepas proses pengosongan bangunan selesai dilaksanakan.

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Abd Aziz, Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju Datuk Shafei Abdullah, Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii dan Pengarah Urusan AlmaVentures Development Sdn Bhd, Datuk Mohd Sinon Mudakir.

Untuk rekod, semenjak Rumawip dilaksanakan pada tahun 2013, sehingga September 2017, sebanyak 70 292 unit atau 88 peratus telah berjaya dicapai dengan sasaran keseluruhan 80 ribu unit yang ditetapkan menjelang tahun 2020 merangkuni projek di bawah ketegori siap, dalam pembinaan dan kelulusan perintah pembangunan. – WD MY