LONDON, 10 Julai – Kebakaran…… Tujuh puluh anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran besar di sebuah bangunan di Pasar Camden Lock di sini, awal pagi tadi.

Perkhidmatan kecemasan berkata, 10 jentera bomba sudah dikerah ke tempat kejadian, berhampiran sebuah kelab malam dan pasar tertutup, namun tiada kecederaan dilaporkan.

“Tingkat pertama, kedua dan ketiga serta bumbung bangunan di dalam pasar itu hangus terbakar.

“Pegawai Kawalan 999 bomba turut menerima beberapa panggilan susulan kebakaran besar itu dan orang ramai diminta mengelak daripada berada berhampiran kawasan berkenaan,” kata ketua pasukan bomba London.

Imej yang dikongsi di media sosial menunjukkan api menjulang tinggi dan kesan kebakaran pada bangunan di pasar dekat utara London itu, yang terkenal dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong.

“Kebakaran merebak sangat pantas. Ramai orang menyaksikannya, tetapi kami takut bangunan itu akan meletup pada bila-bila masa kerana ia berhampiran restoran dan dapur,” kata saksi Joan Ribes, 24, kepada Press Association.

Jurucakap Perkhidmatan Ambulans London berkata, mereka menerima panggilan sekitar jam 12.07 pagi (waktu tempatan) semalam.

“Kami menghantar ketua pasukan klinikal dan Pasukan Tindak Balas Kawasan ke tempat kejadian. Kami tidak merawat mana-mana pesakit, tetapi masih tetap berada di tempat kejadian,” katanya. – WD MY