KUALA LUMPUR, 19 Mac – Seramai 16 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia telah ditahan dalam Ops Tegas oleh Jabatan Penguatkuasaan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Pasar Datuk Keramat di sini pagi tadi.

Sebanyak tujuh premis perniagaan disita, dua pembatalan lesen perniagaan dan satu notis amaran dikeluarkan DBKL atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja dan Gerai WPKL (UUK).

Menurut Penguasa Kanan Jabatan Penguatkuasaan, DBKL, Mohd Hariyadi Mohd Nor antara kesalahan yang dilakukan termasuklah penyalahgunaan lesen perniagaan dan menggaji pekerja warga asing tanpa permit sah.

Jelasnya, operasi dilaksanakan setelah menerima aduan awam dan risikan selama tiga hari di pasar berkenaan.

Ia melibatkan 56 orang pegawai penguatkuasa dari DBKL dan dibantu oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi dijalankan selama dua jam dari jam 8.30 hingga 11.30 pagi.

Ia merupakan siri ke-7 daripada 36 Ops Tegas untuk tahun 2016. – CF (WD MY)

LEAVE A REPLY