KUALA LUMPUR, 10 Mac – Pasaran modal Malaysia berkembang di semua segmen pada 2015, dengan saiznya meningkat kepada RM2.82 trilion atau 2.5 kali saiz ekonomi domestik.

Pasaran ekuiti meningkat sebanyak 2.6 peratus kepada RM1.70 trilion berbanding RM1.65 trilion pada 2014, manakala pasaran bon dan sukuk berkembang sebanyak 1.4 peratus kepada RM1.12 trilion.

Pasaran modal Malaysia terus menjadi sumber utama pembiayaan dengan RM90 bilion dijana melalui pasaran primer, sekali gus tahun keempat berturut-turut angka berkenaan dicapai.

Sejumlah RM86 bilion dijana menerusi bon manakala RM4 bilion lagi melalui tawaran awam permulaan (IPO), di tengah-tengah 26.5 peratus penyusutan di peringkat global.

Sebanyak RM17 bilion lagi pula dijana menerusi pasaran ekuiti sekunder.

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Datuk Seri Ranjit Ajit Singh, berkata pasaran modal Malaysia kekal berdaya tahan di sebalik suasana tidak menentu yang menjejaskan pasaran sedang pesat membangun di seluruh dunia.

“Keupayaan pasaran modal untuk kekal berdaya tahan sambil mengekalkan kepercayaan awam dan keyakinan pelabur dalam suasana global yang mencabar membuktikan usaha berterusan dilaksanakan bagi mengukuhkan kawal selia serta asas institusi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Laporan Tahunan 2015 SC di sini, hari ini.

Saiz Pasaran Modal Islam (ICM) berkembang 6.1 peratus kepada RM1.70 trilion pada 2015, berbanding RM1.59 trilion pada 2014.

Permodalan pasaran sekuriti patuh Syariah pula mencecah RM1.09 trilion pada 2015, mewakili 64.1 peratus permodalan pasaran keseluruhan.

Malaysia terus menjadi pemimpin global dalam pasaran sukuk, merangkumi 54.3 peratus daripada baki suku global setakat akhir tahun lalu.

Industri pengurusan dana pula mencatatkan pertumbuhan enam peratus dengan aset di bawah pengurusan meningkat kepada RM668 bilion pada 2015, berbanding RM630 bilion pada 2014.

Dana unit amanah, yang mengekalkan jualan bersih keseluruhan RM17.8 bilion, mencecah RM347 bilion dalam nilai aset bersih (NAB) pada akhir 2015.

Skim Persaraan Swasta (PRS) yang diperkenalkan tiga tahun lalu mencatatkan pencapaian penting tahun lalu apabila NAB melepasi paras RM1 bilion untuk mencecah RM1.2 bilion.

Jumlah ahli PRS meningkat kepada 180,651 yang mewakili pertambahan 40 peratus berbanding pada Disember 2014. – CF (WD MY)

LEAVE A REPLY