KUALA LUMPUR, OKTOBER 12:SAHAM…Lima bulan selepas kemenangan mengejut Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14), pelabur dalam pasaran saham Malaysia akhirnya menerima hakikat akan berdepan lebih banyak tekanan dalam beberapa bulan akan datang.

Ketidaktentuan dalam pasaran saham tempatan terus memuncak sejak Jun dan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) terus mencatatkan penyusutan 2.6 peratus hari ini, selepas menyusut 2.2 peratus pada hari sebelumnya.

Ia susulan pengumuman Perdana Menteri dalam satu forum dua hari lalu, yang mana kerajaan akan merangka cukai baharu tidak lama lagi bagi menampung belanjawan negara yang dibatasi hutang serta perubahan pada levi penggunaan.

“Wujud ketidaktentuan dalam perubahan dasar kerajaan yang boleh menyebabkan pasaran tidak menentu dalam jangka masa terdekat,” kata Ketua Penyelidik CIMB Investment Bank Bhd bagi Malaysia, Ivy Ng Lee Fang.

“Ini bukan sesuatu yang baharu memandangkan kerajaan sudah memberikan isyarat sama sebelum ini,” katanya.

Lebih daripada 1,200 bank dan pelabur dari sekurang-kurangnya 10 negara yang menyertai forum ‘Malaysia: A New Dawn’ di sini pada Selasa, hadir untuk mendapatkan penjelasan mengenai rancangan kerajaan.

Sentimen pelabur mungkin lembap selepas Dr Mahathir dan beberapa menteri Kabinet mengadakan pertemuan dengan komuniti pelaburan, kata Ketua Penyelidik AllianceDBS Research Sdn Bhd, Bernard Ching.

“Mesej yang diperoleh komuniti pelaburan tidak dijangka oleh mana-mana pihak,” katanya.

Indeks penanda aras Malaysia susut selama dua hari sejak Oktober 2008.

Ia mengalami pembetulan pada Jun, selepas pelabur asing menjauhi pasaran berikutan kemenangan mengejut Dr Mahathir pada Mei.

Aliran keluar dana asing mencecah AS$2.2 bilion (RM9.15 bilion) tahun ini selepas aliran saham berubah kepada negatif sejurus berlakunya perubahan dalam kerajaan, demikian menurut data yang dikumpul oleh Bloomberg.

Bajet 2019 kerajaan yang akan dibentangkan pada 2 November mungkin memberi lebih banyak idea konkrit dan muktamad mengenai apa yang diharapkan pasaran.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, langkah cukai baharu akan diumumkan sebagai sebahagian daripada ucapan bajet.

Bajet yang akan dibentangkan kerajaan akan memberi implikasi ketara kepada pasaran memandangkan kekangan fiskal dan langkah yang akan diumumkan bakal menjadi sumber baharu kepada pendapatan negara, kata Penganalisis RHB Research Institute, Alexander Chia dalam nota penyelidikan.

Mahathir juga akan mengumumkan dasar ekonomi sosial baharu pada 18 Oktober ini apabila beliau membentangkan perkembangan kajian jangka pertengahan bagi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Sesetengah pelabur mungkin tidak memasuki pasaran menjelang pengumuman terbabit, di tengah-tengah ketidakpastian politik dan rancangan kerajaan untuk memperkenalkan cukai baharu, kata Ahli Strategi CMC Markets Singapore Pte, Margaret Yang.-MY WD