KUALA LUMPUR, 8 Mac – Pasukan keselamatan negara telah berjaya
mengekang dan menggagalkan beberapa plot rancangan serangan keganasan oleh
kumpulan Daesh, menculik pemimpin negara termasuk perdana menteri, persidangan
Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menurut Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi mendedahkan selain Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,
turut menjadi sasaran ialah beliau sendiri dan Menteri Pertahanan Datuk Seri
Hishammuddin Tun Hussein.

“Pada 30 Jan 2015, sebanyak 13 individu dikaitkan Daesh merancang menculik
pemimpin tertinggi negara termasuk perdana menteri dan menteri KDN dan menteri
pertahanan,” katanya.

Ahmad Zahid menjawab soalan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) yang
meminta penjelasan mengenai kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam
menggagalkan plot rancangan serangan pengganas IS atau Daesh di negara ini.

Menjelas lanjut, beliau berkata selain penculikan, kumpulan itu turut
merancang serangan ke atas rumah ibadat, tempat tumpuan ramai, merompak senjata
api dari kem tentera dan rompakan wang tunai yang dipercayai bagi dijadikan dana
untuk kegiatan mereka.

Katanya walaupun tiada cawangan Daesh di negara ini, namun mereka yang
terpengaruh dengan ideologi kumpulan militan itu menerima arahan terus daripada
kumpulan itu di Syria yang diketuai oleh Abu Bkar al-Baghdadi.

Tambah Ahmad Zahid, kegiatan kumpulan Daesh di negara ini agak ketara
sepanjang September 2014 sehingga Mei 2015 dan dalam tempoh berkenaan, pasukan
keselamatan mengesan empat perancangan kumpulan pengganas itu untuk melakukan
serangan di beberapa lokasi di Kedah, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Melihat kepada perkembangan ancaman kumpulan pengganas Daesh ini, satu
tindakan bersepadu dan holistik perlu dan telah dilaksanakan untuk
menanganinya, untuk itu KDN dan PDRM secara berterusan menjalin kerjasama,
berkongsi maklumat dengan agensi luar negara khususnya dari negara-negara
ASEAN,” katanya.

Menurutnya, hasil daripada kerjasama tersebut pemantauan rapi untuk
menjejaki mereka yang terlibat dengan kumpulan pengganas itu dapat dilaksanakan
dan nama individu yang terlibat dipanjangkan kepada Jabatan Imigresen untuk
disenaraihitamkan dan dimasukkan ke dalam senarai syak.

“Pergerakan mereka yang disyaki terlibat Daesh juga dipantau di pintu masuk
negara. Kerajaan juga merancang untuk menggunakan Advanced Passengers Screening
System (ATSS) iaitu membuat saringan awal pelancong yang ingin memasuki negara
ini sebelum mereka berlepas daripada negara asal untuk pastikan setiap warga
asing dapat ditapis kemasukan mereka dengan terperinci,” katanya.

Jelasnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia turut memantau
media sosial yang menjadi medium komunikasi kumpulan yang terpengaruh dengan
Daesh.

Menerusi undang-undang pula, mereka yang ditahan di bawah Akta Pencegahan
Keganasan (POTA) dan Akta Kesalahan-Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah
Khas)(Sosma) 2012 dan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 2013 perlu menjalani
program pemulihan dengan modul pemulihan bersepadu melibatkan agensi seperti
PDRM, Jabatan Penjara, KDN, Jakim dan pertubuhan bukan kerajaan terpilih.

Ahmad Zahid berkata kejayaan individu yang menjalani proses pemulihan kini
mencapai tahap 97.5 peratus, dengan kebanyakan individu tersebut menyesal
terlibat dengan kumpulan militan berkenaan.

“Mereka yang pulang dari Syria dan Iraq dan ditahan, ketika disoal
kebanyakannya memberitahu penglibatan mereka di sana hanya indah khabar dari
rupa. Mereka langsung tidak terlibat bersama-sama mengangkat senjata tapi ramai
yang menyesal kerana diberi tugas seperti cuci tandas dan hanya sapu sampah di
jalanan.

“Berdasarkan maklumat mereka, kebanyakan yang meninggal tak terlibat dalam
pertempuran tetapi mereka pergi ke kawasan berkenaan untuk kononnya mati syahid.
Ini semua sia-sia,” katanya.

Katanya sehingga kini pihaknya meningkatkan siapsiaga antara agensi
terlibat bagi mengesan elemen keganasan, meningkatkan kawalan di lokasi-lokasi
yang berisiko menjadi sasaran seperti kawasan tumpuan pelancongan, kedutaan dan
bangunan kerajaan, serta meningkatkan kerjasama dengan orang awam supaya melapor
sebarang aktiviti mencurigakan. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY