PUTRAJAYA, 21 Mac – Satu pasukan siasatan bebas akan ditubuhkan
untuk membuat semakan segera terhadap mekanisme dalaman dan proses tadbir urus
berkaitan penyaluran dana di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata beliau telah berbincang dengan Ketua
Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa berhubung penubuhan pasukan
siasatan bebas untuk mengenal pasti kelompongan dan menambah baik prosedur
kewangan dalaman KBS.

Pasukan siasatan bebas itu akan dilantik KSN dan ia tidak akan melibatkan
pegawai dari KBS bagi memastikan tiada kepentingan diri dalam siasatan yang
bakal dijalankan, katanya.

“Objektif utama pasukan ini adalah untuk memperbaiki kelemahan proses
dalaman yang boleh menjurus kepada penyelewengan dana awam,” katanya, sambil
menambah KBS mengalu-alukan cadangan yang bakal dikemukakan pasukan siasatan
bebas itu.

Khairy berkata demikian dalam sidang media di sini hari ini berhubung isu
penyelewengan membabitkan setiausaha bahagian di kementerian itu yang disyaki
terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.

Katanya siasatan dalaman KBS mengenal pasti beberapa kelemahan yang
menyebabkan berlakunya penyelewengan, antaranya selama beberapa tahun, pegawai
berkenaan menyalahgunakan prosedur yang tidak memerlukan kelulusan atau
pengesahan pihak atasan termasuk menteri dan ketua setiausaha kementerian.

Ditanya sama ada KBS akan mengkaji semula projek dan program di bawah
kementerian ekoran kes berkenaan, Khairy berkata kes penyelewengan itu hanya
khusus kepada bentuk peruntukan yang tidak melibatkan projek pembangunan setakat
ini.

“Projek dan program pembangunan yang tidak melibatkan kelulusan peruntukan
yang digunakan dalam kes ini, akan terus berjalan seperti biasa, tetapi kalau
pasukan bebas perlu melihat kepada semua prosedur kelulusan KBS, kami sedia
untuk bekerjasama dengan pasukan itu,” katanya.

Khairy dalam sidang media berhubung perkara itu mengesahkan pegawai
kementeriannya disiasat SPRM berhubung isu penyelewengan tersebut dan beliau
telah dimaklumkan SPRM beberapa minggu lepas tentang siasatan yang dijalankan
terhadap pegawai berkenaan.

Katanya KBS akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM supaya siasatan itu
dapat dijalankan dengan pantas dan menyeluruh.

“KBS menyerahkan kepada SPRM untuk mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan
hasil siasatan,” katanya. -Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY