IPOH, 25 Nov – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebuah pasukan khas di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu dibentuk bagi mengkaji kewujudan orang tengah yang menjadi penyebab harga barangan melebihi harga pasaran.

Ini kerana kerajaan khuatir orang tengah yang berperanan mengambil keuntungan melebihi daripada yang sepatutnya.

Ahmad Zahid berkata kenaikan harga barangan yang berlaku tidak hanya makanan tetapi juga melibatkan kos pengangkutan dan utiliti.

“Kita tidak mahu rakyat menjadi mangsa dan akhirnya persepsi yang negatif dan tuduhan dibebankan kepada KPDNKK. Akhirnya kebertanggungjawaban itu diletak sepenuhnya kepada kerajaan sedangkan faktor-faktor dan pemboleh ubah yang berlaku sebaliknya,” katanya.

Berucap pada perasmian Karnival Jualan Mega 2017 di Bulatan Amanjaya, Meru, di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata kajian yang dilakukan baru-baru ini menunjukkan keadaan ekonomi Malaysia semakin baik dari semasa ke semasa namun harga barangan di pasaran masih menjadi bebanan kepada pengguna.

“Indeks sektor pemborongan dan peruncitan mencatatkan peningkatan sebanyak 7.4 peratus berbanding sebelumnya dan daripada jumlah ini, subsektor perbankan runcit menjngkat kepada 10.4 peratus pada suku tahun ketiga,” katanya. – WD MY