SERDANG,SEPTEMBER 21:RAGHBI… Kuasa ragbi institusi pendidikan tinggi (IPT) bakal terjawab apabila pasukan Serdang Angels UPM dan UiTM Lions berentap pada aksi final Kejohanan Ragbi Super 8 IPT 2018 di Universiti Putra Malaysia, Ahad ini.

Serdang Angels selaku juara empat kali berturut-turut sejak kejohanan diperkenalkan 2014 sekali lagi mara ke perlawanan akhir selepas membenam Politeknik Malaysia, 46-0 pada saingan separuh akhir petang semalam.

Gandingan tiga pemain 15 sebelah kebangsaan dan enam pemain 7 sebelah kebangsaan nyata memberi kelebihan kepada Serdang Angels.

Wan Izzudin Ismail dan Azwan Md Zizi serta Muhd Siddiq Amir Jalil menguasai permainan dengan 6 try serta 5 conversion dan dua penalti bagi mencatatkan kemenangan mudah. Bagaimanapun cabaran getir kali ini sudah pasti menanti Serdang Angels apabila UiTM Lions mula menunjukkan kebangkitan dengan mencalar rekod tanpa kalah UPM di aksi peringkat kumpulan.

UiTM Lions yang turut dibarisi beberapa pemain kebangsaan mara ke perlawanan akhir bagi menebus kehampaan gagal ke final tahun lalu.

Try oleh Mohd Danial Nurhamidi, Muhd Sufian Mohamad Kamil dan Luqman Nurhakim membantu UiTM menewaskan UM Blues dengan keputusan 27-10.

Sekali gus perlawanan akhir pada Ahad ini bakal menyaksikan pertembungan dua kuasa besar sukan ragbi IPT, Serdang Lions UPM dan UiTM Lions yang mempunyai sejarah tersendiri dalam sukan ini bagi mengulangi perlawanan akhir pada 2016.

Kejohanan Ragbi Super 8 IPT ini disertai lapan pasukan yang terdiri daripada empat pasukan mewakili Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), dua pasukan daripada Majlis Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (MASISWA) dan satu pasukan Majlis Sukan Politeknik (MSP) dan 1 pasukan Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM)