LABUAN, 22 Ogos – Pasukan Khas…… Sebuah Pasukan Petugas Khas telah dibentuk
sebagai platform untuk menyelesaikan beberapa isu yang menyentuh kepada
kepentingan rakyat dan pulau Labuan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan
oleh beliau itu akan memulakan perbincangan selewat-lewatnya September ini.

“Kami telah mengadakan perbincangan peringkat awal secara tidak formal
bersama Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Unit
Perancang Ekonomi (EPU) dan beberapa pegawai kanan kerajaan Persekutuan untuk
memulihkan ekonomi Labuan.

“Secara rasminya, saya akan adakan mesyuarat pada minggu pertama bulan
depan,” katanya kepada media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO
Bahagian Labuan, petang semalam.

Ahmad Zahid berkata anggota Pasukan Petugas Khas itu yang terdiri dalam
kalangan menteri Kabinet, juga akan melibatkan anggota Parlimen Labuan, pemimpin
kanan Bahagian UMNO Labuan, Ketua Pemuda dan Puteri serta bekas anggota Parlimen
Labuan.

“Penglibatan mereka ini amat perlu bagi membolehkan kita menyeragamkan
pendapat dan pandangan daripada semua pihak untuk membantu memberi idea baharu
dalam mentransformasikan atau merakyatkan akar umbi ekonomi Labuan. Ini masalah
kita dan pembabitan mereka adalah penting.

“Kita mahu tekankan kepada merakyatkan ekonomi bukan kapitalis ekonomi yang
mementingkan kepada perseorangan atau individu,” katanya.

Antara isu bakal dibincangkan adalah sektor minyak dan gas yang merudum,
harga barangan pengguna yang tinggi, cukai kastam baharu yang membebankan
penduduk Labuan.

Status Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), projek
pembangunan Labuan untuk kontraktor tempatan dan permit penerbangan sewa khas
dari China ke Labuan untuk pelancong negara berkenaan.

Ahmad Zahid berkata beliau yakin penubuhan pasukan itu akan dapat membantu
mencari penyelesaian kepada pemulihan ekonomi Labuan.

“Saya akan pastikan pengeluaran permit untuk penerbangan sewa khas membawa
pelancong China ke Labuan dikeluarkan Kementerian Pengangkutan secepat mungkin.
Rangkaian perhubungan Labuan harus terus diperbaiki sebagai pemulihan
ekonominya.

“Bagi status UMSKAL, kita akan bincangkan secara menyeluruh kerana ia
melibatkan kajian dan kertas kerja,” katanya.

Berhubung status pulau bebas cukai Labuan, Ahmad Zahid berkata ia harus
dikekalkan dan tidak perlu dikaitkan dengan usaha mengekang aktiviti
penyeludupan.

“Sekiranya ada usaha memansuhkan status pulau bebas cukai Labuan, saya
adalah pemimpin yang akan menentangnya.

“Seharusnya aktiviti penyeludupan diselesaikan dengan penguatkuasaan, bukan
pemansuhan status bebas cukai. Sebab, saya tahu masyarakat Labuan tidak
melakukan penyeludupan tetapi kemungkinan orang luar,” katanya.

Beliau berkata isu itu akan dibincangkan Pasukan Petugas Khas tersebut
dengan penglibatan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Pengekalan status pulau bebas cukai itu mampu membantu menarik ramai
pelancong untuk datang ke Labuan,” tegasnya.

Ahmad Zahid juga berkata Labuan akan memberi tumpuan kepada sektor
pelancongan bagi program transformasi ekonominya berikutan kejatuhan harga
minyak dunia yang membawa kesan kelembapan kepada sektor minyak dan gas pulau
itu.

“Dengan kombinasi Menteri Wilayah Persekutuan dan saya sendiri, saya ingin
pastikan semua hotel di Labuan akan penuh sepanjang musim bermula tahun depan.

“Tetapi dalam kita mentransformasikan ekonomi ke sektor pelancongan, sektor
terdahulu iaitu minyak dan gas tidak juga harus dilupakan kerana jika ia pulih
semula, kita harus bersedia untuk memperbaiki kemudahan seperti di Labuan
Shipyard dan perkhidmatan perkapalan…ia harus beroperasi aktif semula,”
katanya.

Ahmad Zahid turut menggesa anggota dan pemimpin UMNO Labuan supaya mengikis
dan menyelesaikan perbezaan pendapat dalam memperjuangkan kepentingan parti
untuk rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut meluluskan peruntukan RM4.5 juta untuk
pembinaan dan pembaikan jambatan di perkampungan air dan pembangunan
infrastruktur kampung. – WD MY

LEAVE A REPLY