KUCHING, 13 Mac – Kerajaan tidak menghalang media tempatan
ataupun asing melaksanakan tugas namun mereka perlu mematuhi etika kewartawanan
dan juga undang-undang negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr
Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya bagi pihak kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri tidak menghalang
mana-mana wartawan dalam negara atau luar negara membuat liputan terhadap
sebarang peristiwa ataupun mewawancara mana-mana tokoh.

“Tetapi, oleh kerana kerjaya kewartawanan mempunyai etika…pada hemat saya,
etika-etika kewartawanan apatah lagi ia dilakukan oleh warga asing, maka kita
melihat ada suatu ketika di mana orang kenamaan utama (VVIP) harus diberikan
langkah-langkah keselamatan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian pada sidang
media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia
(MCPF) hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai dua warga Australia yang ditahan selepas
merempuh kawalan keselamatan kerana cuba menemubual Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Naib Pengerusi
MCPF Tan Sri Lee Lam Thye.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata pihak keselamatan meletakkan keutamaan
dalam menjaga keselamatan VVIP dan perkara itu tidak harus dilihat sebagai
halangan kepada kebebasan media.

“Tindakan (jaga keselamatan) itu untuk menentukan tataetika kewartawanan
diikuti…tataetika di Malaysia harus dijaga, diikuti dan soal keselamatan harus
diberi keutamaan oleh pihak berkuasa, dan mana-mana wartawan harus hormati
keputusan dari segi menjaga keselamatan.

“Saya fikir kalau wartawan Malaysia berada di luar negara, tentu kita harus
mematuhi tataetika kewartawanan dan juga faktor-faktor keselamatan di
negara-negara berkenaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata penahanan dua warga Australia itu tidak boleh dianggap
sebagai halangan kepada wartawan asing untuk membuat liputan di negara ini.

“Saya fikir, mereka telah melakukan yang terbaik untuk media mereka. Tetapi
pada masa yang sama, mereka harus menghormati aspek-aspek keselamatan yang
dilaksanakan oleh pihak berkuasa di negara ini,” katanya. – Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY