KUALA LUMPUR, 23 Nov – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan beberapa cawangan UMNO yang mendesak Presiden UMNO meletak jawatan, didalangi pihak-pihak tertentu yang mempergunakan ketua-ketua cawangan terbabit.

Menurut Naib Presiden UMNO itu mereka terbabit perlu faham bahawa UMNO
mempunyai sistem, peraturan, tatacara dan juga perlembagaan yang menentukan
kaedah pemilihan untuk menentukan kepimpinan di peringkat nasional, bahagian dan
cawangan.

“Saya tidak berhasrat untuk menghentak hati mana-mana pihak tetapi UMNO
hidup dan terus relevan dengan mengikuti tatacara dan peraturan sedia ada,”
katanya kepada media selepas Forum Ekonomi Peringkat Tinggi Malaysia-China
di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu ditanya mengenai seramai 34 ketua Cawangan UMNO
dari lima negeri mendesak secara terbuka agar Datuk Seri Najib Tun Razak meletak
jawatannya sebagai Presiden UMNO, seperti dilaporkan media sosial baru-baru ini.

“Seramai 34 orang daripada 21,000 (ketua cawangan), fikir sendirilah
tergugat atau tidak (dengan desakan itu),” kata Ahmad Zahid.

Ahmad Zahid turut menasihatkan dalang-dalang berkenaan supaya mematuhi
sistem, peraturan dan tatacara yang termaktub dalam perlembagaan UMNO.

“Ini bukan satu tuduhan (terdapatnya dalang) tetapi saya sebagai seorang
daripada naib presiden UMNO mencium bau dalang-dalang yang mencampuri soal ini
dan menggunakan ketua-ketua cawangan ini untuk melakukan desakan.

“Tatacara itu harus dihormati bukan dengan kaedah yang digunakan oleh
dalang-dalang berkenaan.

“Saya fikir eloklah dalang berkenaan sama ada yang nampak atau tidak nampak,
mengikuti peraturan dan perundangan sedia ada,” kata Ahmad Zahid. -Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY