PELABUHAN KLANG, 21 FEB – TEMU…. Surau Taman Pendamar Indah, gempar apabila dikejutkan dengan penemuan sebuah patung berhala yang diletakkan bersebelahan pintu masuk utama di Surau Sabilul Huda, semalam.

Difahamkan, patung itu diletakkan individu tidak bertanggungjawab di antara jam 2.30 petang hingga 4.00 petang sebelum disedari oleh siak yang datang untuk membuat persiapan bagi solat Asar di surau berkenaan.

Siak surau itu, Mohd Yatim Omar, 64, berkata patung itu ditemui olehnya ketika mahu membuka pintu surau berkenaan yang berkunci kira-kira jam 4.15 petang.

Beliau yang terkejut dengan penemuan itu kemudiannya memanggil ahli jawatankuasa (AJK) serta kariah surau tersebut bagi melihat sendiri patung tersebut.

“Ketika saya pulang selesai solat Zuhur semua dalam keadaan baik dan tiada patung tersebut. Namun, apabila saya datang datang surau buat persiapan solat Asar ada patung berhala yang diletakkan di situ.

“Saya sangat terkejut dan tidak tahu apa motif mahupun mana-mana individu yang meletakkan patung tersebut. Tambahan pula, surau ini tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV).

“Setahu saya, surau ini tidak pernah menerima aduan atau mempunyai masalah dengan mana-mana pihak selain kecurian tabung surau yang sudah berlaku hampir lebih sepuluh kali,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata, perkara ini sangat sensitif berikutan ia mencemarkan tempah ibadah bagi masyarakat yang beragama Islam.

“Kami kecewa dan terguris dengan kejadian ini seperti ini yang seolah-olah menghina agama Islam serta menggesa dalang di sebalik kejadian itu tampil meminta maaf.

“Pada mulanya kami tidak mahu menimbulkan kekecohan serta memperbesarkan perkara ini, namun, kami tidak boleh mendiamkan diri lagi berikutan ia tidak menghormati agama Islam,” katanya.

Mohd Yatim, berkata susulan penemuan tersebut, dia kemudiannya membuat satu laporan polis di Balai Pandamaran, Klang Selatan, di sini awal pagi tadi serta menyerahkan patung itu bagi siasatan lanjut.

Sementara itu, salah seorang AJK surau itu, Abd Rahman Mohd Shariff, 46, berkata dirinya amat terkejut apabila dimaklumkan dengan penemuan patung tersebut.

“Memang timbul perasaan marah dan geram apabila ada pihak yang tidak bertanggungjawab dipercayai dengan sengaja meletakkan patung tersebut di bersebelahan pintu masuk ini.

“Ini adalah kejadian kali pertama dan saya kira ia sepatutnya tidak patut berlaku di rumah agama. Ia perkara yang sangat sensitif. Kami harap agar perkara ini disiasat,” katanya. – WD MY