SELA PRI KAMNIKU, 1 SEPT – PATUNG…. Sebuah patung kayu besar yang menyerupai Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump didirikan minggu ini di Slovenia, negara asal isterinya, Melania, walaupun pembina menegaskan ia mewakili ‘Statue of Liberty’ dan bukan pemimpin itu.

Patung dibina Tom Schlegl setinggi lapan meter di perkampungan Sela, di utara ibu kota Ljubljana, memaparkan seorang lelaki berambut perang dan ekspresi wajah marah, memakai sut biru, kemeja putih dan tali leher merah. Tangan kanannya diangkat sambil menggenggam penumbuk.

“Saya membina patung itu kerana orang ramai terlupa maksud sebenar Statue of Liberty. Saya mahu mengingatkan orang ramai terhadap kebangkitan populisme dan agak sukar untuk mencari seorang populis lebih besar dalam dunia selain Donald Trump,” kata Schlegl.

Schlegl berkata, beliau tidak kisah jika kebanyakan orang melihat patung itu mewakili Trump.

Arkitek berusia 56 tahun itu berkata, beliau mendapat idea membina patung itu selepas arca kayu serupa Melania dilancarkan berhampiran kampung asal wanita pertama itu di Sevnica oleh artis AS, Brad Dowsey kurang dua bulan lalu.

Patung Sela, didirikan sukarelawan, hanya boleh berada di lokasi terkini selama dua bulan dan kemudian perlu mencari tempat baharu, kata Schlegl.

“Ia boleh dipasang di Slovenia atau luar negara, malah Greenland jika ada minat di sana,” kata Schlegl sambil berjenaka merujuk cubaan terkini Trump membeli Greenland dari Denmark. – WD MY