KUALA LUMPUR, 28 Nov – BAHAS….. Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 bakal memperlihatkan perwakilan membahaskan ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi tumpuan kepada persiapan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke- 14 ( PRU14).

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau yakin ucapan dasar  Presiden parti akan lebih menjurus kepada persediaan menghadapi PRU14 yang akan diadakan pada bila-bila masa sahaja.

“Memandangkan ia merupakan PAU yang terakhir sebelum menghadapi PRU14, maka kita perlu menukarkan mood ‘winning mentality’ kepada rakyat…kita adalah parti yang terbaik,” katanya kepada media pada Sidang Media PAU 2017 hari ini.

PAU yang akan berlangsung pada 5 hingga 9 Disember depan akan dimulakan dengan taklimat Presiden pada pukul 2 petang dan diikuti perasmian pergerakan sayap parti oleh Naib Presiden yang juga menjalankan tugas Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada sebelah malam, hari yang sama.

 

Menurut Tengku Adnan lagi, buat pertama kalinya, pada PAU tahun ini akan melaksanakan kaedah ‘paperless’ bagi mengurangkan kegunaan kertas selaras dengan era digital masa kini.

‘Segala maklumat boleh dimuatturun menerusi laman web rasmi UMNO, perwakilan tidak akan menerima buku penyertaan seperti tahun-tahun lepas kerana buku itu akan diberi kepada ketua dan setiausaha bahagian dan ahli majlis tertinggi sahaja, yang lain tidak akan terima.

“Kita (media) juga akan berkomunikasi melalui media online. Jika ada sidang media tergembar, sidang media daripada Presiden atau Timbalan Presiden, kita akan maklumkan melalui media digital. Tahun depan kita akan bincang lagi untuk laksanakan ‘paperless’ sepenuhnya,” katanya.

Selain itu, perhimpunan kali ini juga memperkenalkan Kaedah Pengesahan Identiti Frekuensi Radio (RFID) untuk semua perwakilan di atas faktor keselamatan.

“Pas perwakilan akan dilengkapi dengan cip. Tidak perlu tunjukkan pas. Ia secara tidak langsung dapat menunjukkan bahawa perwakilan itu ialah ahli yang sah selaras dengan saranan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

“Kita sentiasa akur dengan kehendak ROS, kita bukan seperti parti serpihan yang ada masalah dengan ROS,” katanya lagi.

Tengku Adnan turut menjemput semua ahli UMNO di seluruh negara untuk hadir ke PAU untuk melihat sendiri pencapaian yang telah dicapai oleh parti itu sejak ditubuhkan sehingga ke hari ini melalui ruang pameran yang akan disediakan.

“Perkhidmatan bas juga akan disediakan daripada PWTC ke Dataran Merdeka untuk membawa mereka yang ingin pergi melawat Expo Negaraku.

“Di sana, pengunjung dapat lihat bagaimana sebuah negara dibangunkan dan apa yang bakal kita capai menjelang tahun 2050,” ujarnya lagi.

Menurut Tengku Adnan, seramai 5739 orang perwakilan akan hadir pada perhimpunan kali ini selain 50 orang mahasiswa daripada 20 institut pengajian awam dan swasta, 60 orang Mahasiswa Turun Parlimen (MANTAP) yang akan terlibat sebagai sukarelawan.

“Selain itu, seramai 63 peserta daripada 14 buah negara telah mengesahkan kehadiran, 51 orang perwakilan UMNO luar negara,” katanya. – WD MY