MANILA 17 Sept. – Gesa PBB……. Pihak Pemerhati Hak Asasi Manusia Asia mendesak supaya diwujudkan sebuah badan siasatan bebas bagi menyi­asat dakwaan penglibatan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte dalam kes pembunuhan di luar bidang kehakiman.

Pengarahnya, Brad Adams­ berkata, kerajaan Filipina seharusnya me­ngundang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meneliti pengakuan seorang bekas tentera, Edgar Matobato yang mendakwa Duterte mengarahkan dan terlibat dalam kes pembunuhan ketika menjadi Datuk Bandar Davao.

Menurutnya, tuduhan Matobato adalah serius dan memerlukan siasatan daripada sebuah badan bebas.

“Duterte tidak mungkin menyiasat dirinya sendiri, dan penting sebenarnya PBB dipanggil untuk memulakan usaha menyiasat dakwaan yang dilemparkan.

“Jika tidak, rakyat Fili­pina tidak akan tahu sama ada Presiden bertanggungjawab dalam kes pembunuhan di luar bidang kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan sambil menambah, Matobato memberitahu Jawatankuasa Senat semalam bahawa Duterte mengupahnya sebagai anggota pasukan pembunuh, yang dikenali sebagai Skuad Pembunuh Davao.

Kumpulan hak asasi menganggarkan Skuad Pembunuh Davao membunuh kira-kira 1,400 orang suspek penjenayah sejak awal tahun 1990.

Matobato mendakwa, mangsa yang dibunuh termasuk ahli politik, wartawan, sekurang-kurangnya seorang penjawat awam serta musuh Duterte dan ahli keluarganya.

Bagaimanapun, Setia­usaha Kehakiman, Vitalliano Aguirre menyifatkan dakwaan Matobato sebagai ‘pembohongan, palsu dan imaginasi buruk’.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Duterte, Martin Andanar menafikan dakwaan penglibatan Presiden Filipina dalam kes pembunuhan di luar bidang kehakiman itu.

“Suruhanjaya hak asasi manusia sudah menjalankan siasatan beberapa tahun lalu ketika Presiden masih memegang jawatan Datuk Bandar. Tiada sebarang dakwaan difailkan dan tiada bukti jelas tentang penglibatan Presiden,” katanya ketika ditanya adakah Duterte mempunyai keupayaan untuk memberi arahan sedemikian. – WD MY

LEAVE A REPLY