KINSHASA, 20 April – Temui……. Pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menemui 17 lagi kubur besar di wilayah Kasai, Republik Demokratik Congo (DRC) hari ini, kawasan yang terjebak dengan keganasan antara puak militia dan pasukan keselamatan.

Pertempuran meletus pada Ogos lalu di Kasai selepas tentera kerajaan membunuh ketua puak, Jean Pierre Mpandi yang juga dikenali sebagai Kamwina Nsapu, yang melancarkan pemberontakan terhadap Presiden Joseph Kabila.

Pengumuman hari ini oleh ketua hak asasi PBB Zeid Ra’ad Al Hussein, menjadikan setakat ini 40 kubur besar sudah ditemui di Kasai.

Pejabat hak asasi berkata, 15 daripada kubur besar berkenaan ditemui dalam kawasan perkuburan di bandar Tshimbulu, manakala dua lagi di perkampungan Tshienke.

Penemuan terbaharu itu mendedahkan betapa dahsyatnya keganasan di kawasan itu dalam tempoh sembilan bulan lalu, kata Zeid. – WD MY