NEW YORK, 14 Mac – LAPORAN…… Pihak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima 138 dakwaan eksploitasi dan penderaan seks tahun lalu dan hampir separuh daripadanya membabitkan anggota misi pengaman badan dunia itu, menurut laporan semalam.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata dalam laporan 62 dakwaan terhadap kakitangan dalam 10 misi pengaman dan satu misi politik digugurkan daripada 104 dakwaan yang dilaporkan pada 2016.

Ada penurunan ketara dalam dakwaan yang direkodkan untuk misi MINUSCA di Republik Afrika Tengah iaitu 19 tahun lalu berbanding 52 pada 2016.

Minggu lalu, Gabon mengumumkan ia mengundurkan tenteranya daripada MINUSCA susulan kes penderaan seks dan masalah lain.

MINUSCA digegarkan dengan siri dakwaan penderaan seksual yang membawa kepada pemecatan komander misi pada 2015 dan penghantaran balik kontinjen yang berhadapan tuduhan berulang kali.

Guterres berjanji PBB akan bertindak balas tegas terhadap dakwaan salah laku pasukan pengamannya dan kakitangan badan dunia itu yang misinya bertanggungjawab melindungi penduduk awam di zon konflik.

“Tiada sesiapa yang berkhidmat di bawah bendera PBB dikaitkan dengan eksploitasi dan penderaan seksual,” katanya. – WD  MY