NEW YORK, 24 Sept – Terima Pandangan Dengan Baik….. Anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerima baik pandangan dan keprihatinan Malaysia terhadap konflik berdarah di Syria, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Selain anggota Majlis Keselamatan, timbalan perdana menteri berkata pandangan Malaysia itu turut diterima baik oleh pemimpin negara yang terbabit dalam proses mencari penyelesaian di negara bergolak itu.

Justeru, katanya, ini membuktikan negara kecil seperti Malaysia turut mempunyai peranan penting dalam memberi pandangan dan cadangan bagi mencari penyelesaian berkekalan di negara itu.

Ahmad Zahid yang kini sedang berada di New York, berkata demikian ketika ditemu bual secara langsung melalui stesyen tv Malaysia malam tadi

Semalam, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, telah menyampaikan ucapannya pada Mesyuarat Peringkat Tinggi Mengenai Situasi di Syria pada Majlis Keselamatan PBB.

Mengulas mengenai pandangan segelintir pihak tentang keperluan negara memberi perlindungan kepada 3,000 pelarian Syria, beliau menegaskan bahawa tindakan itu dilakukan atas nama kemanusiaan dan demi menterjemahkan komitmen Malaysia di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, jumlah itu adalah kecil berbanding 1.5 juta pelarian Syria di Lubnan dan ratusan ribu lagi yang sedang berlindung di negara Kesatuan Eropah.

Katanya, langkah itu bukan sesuatu perkara yang baharu tetapi satu tindakan Malaysia yang konsisten selepas pernah memberi perlindungan kepada 300 warga Bosnia yang satu ketika dahulu negara mereka mengalami konflik yang sama. – WD MY

LEAVE A REPLY