KUALA LUMPUR, 29 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan
mengadakan pertemuan dengan timbalan ketua polis Thailand pada Khamis ini yang
antara lain bagi membincangkan mengenai kebenaran menyoal siasat bekas eksekutif
PetroSaudi International Ltd (PSI) Xavier Justo yang kini ditahan di negara
itu.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pihaknya sebelum ini
telah membuat permohonan supaya PDRM turut diberi ruang menyoal siasat Justo
sebelum sebarang tindakan diambil ke atasnya.

“Kami memang berhubung rapat dengan pihak berkuasa Thailand. Tapi kita perlu
tunggu dulu mereka selesai apa juga siasatan terhadap subjek itu,” katanya pada
sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Rabu lepas, Polis Thailand dilaporkan menahan warga Switzerland itu atas
tuduhan cuba memeras ugut PSI, sebuah syarikat antarabangsa yang berpangkalan di
Arab Saudi yang menjadi tumpuan di Malaysia berikutan kerjasama pernah dijalin
dengan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengulas lanjut, Khalid berkata perbincangan mengenai langkah seterusnya
yang akan diambil terhadap Justo akan turut dibincang pada pertemuan itu nanti.

Ditanya sama ada Justo akan diekstradisi, Khalid berkata perkara itu akan
diputuskan kemudian.

“Kita tak boleh bagi masa siasatan, kita kena bagi pihak Thai selesaikan
kerja dia, kemudian baru kita lihat apa patut kita buat pula,” katanya.

Terdahulu Khalid menyerahkan bungkusan kuih raya kepada ketua formasi dan
ketua-ketua polis negeri untuk diagihkan kepada pegawai dan anggota PDRM yang
bertugas semasa Aidilfitri nanti.-Suraya Ahmad (WD MY)

LEAVE A REPLY