KUALA LUMPUR, 30 Mei – Sumbangan….. Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) menyumbangkan 57,000 kotak bungkusan hari raya kepada anggota keselamatan.

Sumbangan itu diserahkan Yang Dipertua BAKTI, Datin Seri Rosmah Mansor kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Panglima Angkatan Tentera (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Sumbangan yang sama turut diserahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Operasi, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Madya Maritim Datuk Indera Zulkifili Abu Bakar.

BAKTI membelanjakan RM541, 500 bagi menyediakan sumbangan bungkusan hari raya itu.

Katanya, kotak bungkusan makanan itu berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini kerana mengandungi pelbagai juadah seperti nasi beriani, ayam masak merah, dalca sayur, acar buah dan bawang goreng.

“Sebelum ini, kita berikan pelbagai juadah termasuk kuih raya berserta nasi impit dan kuah kacang,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Hari Raya kepada Pasukan Keselamatan Negara 2017 di Bangunan Bakti Siti Hasmah, di sini hari ini.

Beliau berkata, tahun ini jumlah sumbangan bertambah berbanding tahun lalu yang mana sebanyak 30,000 bungkusan diberikan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM); 20,000 bungkusan kepada ATM dan 7,000 bungkusan APMM yang bertugas di perairan negara sepanjang bulan Ramadan dan Aidilfitri nanti.

“Sumbangan ini walaupun tidak setimpal dengan budi yang ditabur, sumbangan yang kami berikan ini ikhlas sebagai tanda kasih sayang terhadap segala pengorbanan mereka menjaga tanah air,” katanya. – WD MY