PUTRAJAYA, 13 April – Belum Terima……. PDRM¬†belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada pihak pembelaan kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam, mendapatkan sebarang dokumen atau bukti tambahan yang diperlukan mereka.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata permohonan dokumen atau bukti tambahan itu boleh dilakukan menerusi mahkamah.

Bagaimanapun, katanya, pemberian dokumen atau bukti tambahan itu perlu mendapat kelulusan daripada Peguam Negara terlebih dahulu sebelum dapat diserahkan kepada pihak pembelaan.

“Mereka boleh tanya, mereka boleh tulis permohonan rasmi bagi mendapatkan dokumen berhubung kes terbabit. Seharusnya mereka menggunakan saluran yang betul, bukan hanya cakap-cakap.

“Bagaimanapun, terpulang kepada Peguam Negara untuk menentukan mana dokumen yang boleh diberi dan mana yang tidak perlu, ” katanya pada sidang media selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universitas Indonesia, di sini hari ini.

Sebelum ini, peguam bela bagi dua wanita tertuduh berhubung kes berkenaan iaitu Siti Aisyah dan Doan Thi Huong, mendakwa polis tidak memberi kerjasama ketika menyediakan maklumat serta kenyataan yang diperlukan.

Barisan peguam itu memohon polis menyediakan rakaman sistem litar tertutup (CCTV) yang lebih menyeluruh berkaitan pembunuhan berkenaan selain kenyataan siasatan terhadap tiga lelaki warga Korea yang pulang ke negara asal bersama mayat Jong-nam pada 30 Mac lalu. – WD MY