KUALA LUMPUR, 4 Nov – Kesan Awal……Usaha mengesan kanak-kanak hilang yang dilaporkan dalam Sistem Amaran Awal Kehilangan Kanak-Kanak (NUR Alert) akan menjadi lebih mudah selepas Facebook akan menghantar amaran awal setiap kejadian kepada semua pengikut laman sosialnya di Malaysia.

Ia hasil kerjasama antara Facebook yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyampaikan hebahan merangkumi maklumat dan butiran penting mengenai kanak-kanak yang hilang seperti gambar, lokasi serta keterangan lain.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata Malaysia negara kelapan yang menggunakan aplikasi sistem pencarian kanak-kanak dalam Facebook, selain menjadi negara pertama di Asia.

“Dengan jumlah 19 juta pengguna Facebook di negara kita, penyebaran maklumat mengenai kejadian akan disalurkan segera, sekali gus membantu pencarian kanak-kanak terbabit.

“Ini kerana, apabila terjadinya kehilangan kanak-kanak, setiap saat adalah penting dan amaran geosasaran Facebook akan dapat membantu penyebaran dengan cepat serta berkesan untuk meningkatkan keupayaan kami mengesan kanak-kanak itu,” katanya selepas pelancaran NUR Alert dalam sistem Facebook, di sini, pagi tadi.

Sejak tahun 2010, sebanyak 29 kes kehilangan kanak-kanak bawah umur 12 tahun dilaporkan berlaku di negara ini dan 21 daripada kes berkenaan selesai, manakala lapan lagi masih dilaporkan hilang sehingga kini. – WD MY