BEIJING, 26 Sept — SEKAT….. Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dipertanggungjawabkan untuk bertindak menyekat penganjuran pesta arak, Better Beer Festival 2017 yang dirancang diadakan pada hujung bulan ini.

“Itu polis punya kuasa, saya sudah arah halangnya,” katanya kepada media yang membuat liputan lawatan kerja tiga hari beliau di China, di sini, hari ini ketika diminta mengulas perkembangan isu pesta arak itu.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali baru-baru ini menegaskan pendirian kerajaan negeri untuk membenarkan penganjuran pesta arak itu dengan syarat peraturan dan undang-undang pihak berkuasa tempatan dipatuhi penganjur.

Pada 18 Sept lepas, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan permit bagi penganjuran pesta arak itu di ibu negara.

PDRM akan mengambil tindakan tegas dan tidak akan berkompromi terhadap penganjuran pesta arak itu atas faktor kepentingan keselamatan umum.

Polis mendapat maklumat terdapat pergerakan pihak luar yang merancang untuk melancarkan serangan ke atas pesta arak itu. – WD MY