AMPANG, 19 Jan – Premis judi tanpa lesen yang tumbuh bak cendawan terutamanya di kawasan Ampang Jaya mendorong Jaringan Melayu Malaysia tampil membuat laporan polis.

Di dalam laporan berkenaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) digesa mengambil tindakan tegas ke atas premis judi yang beroperasi tanpa lesen, terutama di daerah Ampang Jaya.

Menurut Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah, mendakwa sekurang-kurangnya 20 premis judi beroperasi di daerah ini, termasuk yang dibuka semula tidak lama selepas dikenakan tindakan.

Dakwanya, kegiatan di premis terbabit didalangi seorang bergelar Datuk Seri.

“Bila polis ambil tindakan, mereka (pengusaha premis) tutup kedai, tapi tak lama selepas itu, beroperasi semula. JMM mahu polis ambil tindakan tegas kerana aktiviti ini dikhuatiri memberi impak negatif, terutama kepada anak muda,” katanya.

Beliau yang membuat laporan polis di IPD Ampang Jaya berhubung perkara itu hari ini., berkata pihaknya mengambil inisiatif sendiri menubuhkan pasukan khas yang menggabungkan 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara bagi memantau operasi premis perjudian. -Sharini Abdulah (WD MY)

LEAVE A REPLY