PDRM Dipelawa Tempatkan Pegawai Kanan Di Scotland Yard – TPM

0
135
LONDON, 8 Nov – Jemput……. Kerajaan Malaysia dipelawa menempatkan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Scotland Yard untuk tempoh tertentu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bagi membolehkan pegawai PDRM menimba pengalaman berhubung kaedah dan prosedur polis di United Kingdom (UK) menangani pelbagai bentuk jenayah.
Katanya, pelawaan itu dipanjangkan oleh Komisioner Polis Metropolitan London, Sir Bernard Hogen-Howe, dalam pertemuan mereka semalam.
scot-zhd1
“Beliau memberi banyak pandangan berhubung usaha polis di UK, termasuk yang menyentuh aspek keganasan dan jenayah serta soal keselamatan sempadan.
“PDRM dan Scotland Yard serta Polis Metropolitan London mempunyai kerjasama erat dalam hal berkaitan jenayah dan kita mahu ia diperkukuhkan.
“Timbal balas ini berguna kerana ada perkara yang mahu mereka pelajari seperti aspek kawalan sempadan.
“Pada masa sama, kita boleh melihat bagaimana Scotland Yard menangani masalah kemasukan pelarian menerusi jalan laut,” katanya kepada media Malaysia hari ini. – WD MY